Pada 16 Mac lalu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri, mengumumkan kebenaran pembukaan bazar tahun ini, susulan penurunan kes harian COVID-19.
Sudah tentu ramai teruja dan tidak sabar untuk mengunjungi bazar Ramadan. Siapa sahaja tidak merindui juadah di Bazar Ramadan seperti murtabak, ayam percik, roti john, kuih pelita, popia basah dan banyak lagi.
Walaupun dianjurkan dalam norma baru akibat kes COVID-19 yang meningkat, sambutan pada tahun ini sangat memberansangkan. Namun, ketidakpatuhan terhadap SOP menimbulkan kekhuatiran pelbagai pihak.
Sejak bermula Ramadan, netizen sudah mula berkongsi gambar dan video menunjukkan pengunjung bersesak-sesak, dan tidak mematuhi penjarakan fizikal ketika membeli juadah.
Menurut MKN, pengeluaran saman dan penutupan sementara bazar boleh berlaku jika terdapat kegagalan mematuhi prosedur operasi standard (SOP). Perkara ini boleh dilihat terjadi ke Bazar Ramadan Tok Adis.
Untuk mengelak perkara ini, mari lihat prosedur operasi standard (SOP) yang wajib dipatuhi.
Pada umumnya, bazar Ramadan dibenarkan beroperasi daripada jam 3 petang hingga 8 malam. Manakala bazar Aidilfitri pula akan beroperasi daripada 10 pagi hingga 12 tengah malam.
Ia juga telah ditetapkan bahawa penganjur Bazar Ramadan hanya akan menjual makanan dan minuman. Manakala, penganjur Bazar Aidilfitri hanya dibenarkan menjual barang kering.
Menurut MKN, antara SOP Bazar yang wajib dipatuhi di bazar Ramadan ialah seperti pemakaian pelitup muka, pengambilan suhu badan, pendaftaran masuk menggunakan aplikasi MySejahtera, penggunaan cecair pembasmi kuman, laluan sehala dan hanya pengunjung 13 tahun ke atas sahaja dibenarkan masuk.
Etika Pemakaian
- Pengunjung dan peniaga mesti memakai pelitup muka (face mask) setiap masa
- Peniaga juga mesti memakai pas khas yang disediakan oleh pihak penganjur, dan apron plastik sekali pakai (bazar Ramadan sahaja)
Etika & Kawalan Pergerakan
- Pembersih tangan (hand sanitizer) akan disediakan di pintu masuk dan penggunaannya adalah wajib
- Pengunjung dan peniaga dengan suhu melebihi 37.5°C tidak boleh memasuki bazar
- Wajib mendaftar masuk setiap gerai menggunakan aplikasi MySejahtera (atau secara manual jika tiada sambungan internet)
*Untuk maklumat terkini tentang SOP Bazar 2021, sila lawati MKN SOP Bazar 2021 atau laman web rasmi Majlis Keselamatan Negara.